Pagar atau Pegar – Ini Jawapan Kukuh Kenapa ‘Pagar’, Bukan ‘Pegar’

Semalam, ketika meluncur ‘feed’ Facebook, saya ternampak satu post yang dikongsi oleh Nazhan Snn Nazain dari grup Persatuan Wikipedia Bahasa Melayu di Facebook.

Statusnya “Pagar makan padi”… bukannya “pegar makan padi” bersama kongsian yang bergambar ejaan-ejaan jawi dan kitab-kitab lama Jawi yang telah diterbitkan pada 29 Julai 2016 iaitu lebih kurang 4 tahun lalu oleh laman FB Dewan Sastera.

Sebenarnya, sejak dulu lagi saya kekal berpegang teguh pada “pagar makan padi” atas beberapa hujah yang pernah saya berikan dalam ruang-ruang komen di beberapa laman FB.

Namun begitu, kali ini saya tertarik lagi kepada isu ini kerana post tersebut memaparkan dan membahaskan penelitian ejaan-ejaan Jawi oleh pihak Klasika Media terhadap kitab-kitab lama yang ternyata bertulis “Pagar” dan bukannya “Pegar”.

Lalu, saya membaca habis kongsian itu termasuklah komen oleh pengarang atau admin Dewan Sastera dalam ruang komen tentang “Jawapan Azimin Daud”. Kesemua itu telah menambahkan lagi pengetahuan saya di samping mengukuhkan lagi pegangan saya terhadap “pagar bukan pegar”.

Nampaknya ramai bersetuju dan terbuka mata mereka terhadap penelitian dan penjelasan pihak Klasika Media dan Azimin Daud yang dikongsikan oleh pengarang FB Dewan Sastera.

Bagaimanapun, masih terdapat pengguna-pengguna FB yang tak bersetuju dengan apa yang dikongsikan oleh pengarang FB Dewan Sastera walaupun saya melihat isi-isi penting yang disampaikan dalam kongsian-kongsian itu hampir cukup meyakinkan.

Hasil rujukan-rujukan saya…

Ya, kongsian itu mengukuhkan lagi pegangan saya namun terdapat beberapa kekurangan yang saya terasa wujud dalam penelitian itu di samping ada komen-komen bangkangan tertentu yang menyebabkan saya terfikir untuk mengkaji atau merujuk bahan-bahan bacaan yang boleh dipercayai untuk mengesahkan apa yang saya percaya dan fahami.

Antara kekurangan yang saya terfikir ialah:

  • Tiada langsung bukti-bukti daripada kitab-kitab lama Jawi yang melaporkan atau menyebut pemagaran padi dinyatakan dalam penelitian itu.

Antara kekurangan yang ditanyakan oleh pengomen yang turut menyebabkan saya mencari rujukan-rujukan lebih lama daripada itu:

  • Nak tanya. Kenapa sumber paling tua yg digunakan sebagai hujah dari tahun 1950-an. Takde sumber lebih tua ke? Kenapa tak bincang dari sudut linguistik atau phonetik? (oleh: Hariz Said)
  • org dlu2 nk wat pntun n pribhasa pon gune bende logik,… Pribahase Prahu lalu kiambg brtaut,….X caye tgok ler prahu klau lalu tgh2 kmplan kiambg, lpas lalu kiambg tu brtaut blik,…. Skrg ni P A G A R ngn P A G A R, x logik ko nk kate P A G A R mkn pdi,… (oleh: Khairul Hakim Al Haq) –> Saya setuju dengannya kerana saya sentiasa berpendapat bahawa kebanyakan peribahasa termasuk pantun lama telah dihasilkan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian orang-orang zaman tersebut (di samping turut disulami kiasan).

Saya turut menjawab beberapa komen yang diberikan di post kongsian tersebut, antaranya ialah Saudara Khairul Hakim Al Haq. Maka, bermulalah perbahasan yang disertai hujah-hujah berfakta dan bukti-bukti daripada hasil-hasil rujukan saya.

Inilah hujah-hujah saya terhadap Saudara Khairul:

DBP senaraikan “menantikan kucing bertanduk” sebagai PERIBAHASA. Ada peribahasa lain yang sama maksudnya, iaitu:PeribahasaMenantikan kuaran bertelur.Bermaksud :Mengharapkan sesuatu yang tak mungkin. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Menantikan ara tak bergetah, b. Menantikan buah rumbia masak, c. Menantikan kucing bertanduk, d. Menantikan putih gagak hitam, buntar-buntar daun lalang, luas-luas daun merunggai, sampai tumbuh damar cindapung). – Sumber: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. DBP

Orang tak “tanam padi pakai pagar” tapi ada jer orang tanam padi dilindungi oleh pagar. Selain tu, ada saja aktiviti jemur padi yang mana padi yang dijemur itu dilindungi oleh pagar supaya ayam tak makan.

Ada di Malaysia yang mana tanaman padi dilindungi oleh pagar, antaranya di Sungai Terachi, Kuala Pilah, Negri Sembilan.

Di Indonesia pun ada, antaranya di Deli Serdang, tempat Melayu Deli Serdang.

Dan seperkara berkaitan, saudara tahukah bahawa ada pantun2 yang menyebut “pagar” dan “padi” tapi jelas ia bermaksud “pagar” (pelindung/penjaga tanaman; bukan “pegar”)?

Berikut adalah antara pantun itu:
Pucuk kesum pucuk kemangi, Tunggal PADI di PAGAR tebing; Sudah tak sokong dengan kami, Cari raksi di tempat lain. – Sumber: Kurik Kundi Merah Saga

Pantun ke-2:
Kalau tak ada PAGAR dibuat, Banyaklah PADI dipijak rusa; Kalau tak ada pembesar adat, Banyaklah negeri rosak binasa. – Sumber: Khazanah Pantun Melayu Riau

Pantun ke-3:
Ikat PAGAR orang berempat, Ikan sepat dalam PADI; Kehendak belajar kalau dapat, Alangkah suka dalam hati. – Sumber: Kurik Kundi Merah Saga

Pantun ke-4:
Anak ayam di atas PAGAR, Turun ke tanah memakan PADI; Kalau hutang wajib dibayar, Kalau janji wajib ditepati. – Sumber: Kurik Kundi Merah Saga

Dah, orang sebut dia “saudara” dia pula berbiadab dengan orang yang hormati dia.

Saudara faham tak maksud Pantun ke-2 ni:? Kalau tak ada PAGAR dibuat, Banyaklah PADI dipijak rusa; Kalau tak ada pembesar adat, Banyaklah negeri rosak binasa. – Sumber: Khazanah Pantun Melayu Riau

Saya ada bukti daripada kitab2 lama berusia ratusan tahun sebelum Malaysia & Indonesia merdeka, yang menyentuh soal “PEMAGARAN PADI”. Ini petikannya:
Adapun PAGAR HUMA itu, jikalau orang sudah ‹memagar›, maka orang yang lain itu tiada ‹memagar›, maka dimakan babi atau dimakan kerbau, mengganti PADI orang itu, karena taksirnya tiada terpagar olehnya itu. Jikalau habis padi orang itu dimakan binatang, mengganti ….
Sumber: Undang-Undang Melaka (teks: 1400-an – 1700-an, manuskrip2: semua salinan dari 1800-an. )

Ini juga daripada KITAB LAMA bertajuk “Cerita Jenaka” yang bertarikh sebelum 1908 (dikutip oleh Raja Haji Yahya) yang juga menyentuh soal pemagaran padi:
yakni tanah di dalam petak BENDANG itu supaya menjadi lembut semuanya, boleh senang menanam PADI lagi pula menyuburkan pokok PADI sampai kepada buahnya; maka ada pula yang MEMAGAR dan berbuat berbagai-bagai ikhtiar supaya terpelihara daripada mara bahaya musuhnya seperti tikus, ulat* dan babi. Maka di dalam hal yang demikian itu semua orang membuat ..

“Makan” mempunyai fungsi KIASAN dalam konteks tu, sama seperti apa yang kadang2 kita sebut “kereta makan jalan”. Dalam konteks “pagar makan padi”, istilah “makan” memiliki maksud “pagar menimpa padi”. Ini pernah disebut juga sebagai “pagar menimpa padi” dalam akhbar bernama “Saudara” dalam artikel bertarikh 3 Mac 1937 seperti berikut:
“Moga2 terjauh ahli2 pengetahuan bangsa kita daripada menepati pepatah:”Pagar menampa* padi.” Yakni yang diharapkan ialah ahli2 pengetahuan itulah yang akan membela bangsanya supaya jangan termasuk kepada kebinasaan maka tiba2 ahli2 pengetahuan itu sendiri meleburkan bangsanya.”
Ps: “menampa” ialah ralat cetakan untuk “menimpa”.

Istilah “makan” juga digunakan sebagai kiasan dalam:

  1. Makan angin (cth: Ali sedang makan angin di Cameron Highland.)
  2. Makan masa (cth: Perjalanan itu makan masa 2 jam.)
  • Bolehkah “Ali” makan angin secara literal?
  • Bolehkah “perjalanan itu” makan masa secara literal?

Akhirnya…

Ya, akhirnya saya berjaya meyakinkan Saudara Khairul dengan jawapan-jawapan tersebut dan beliau turut menyatakan bahawa “point” saya sudah mengalahkan hujah beliau.

Kini beliau yakin dan menyokong bahawa ia adalah memang “pagar bukan pegar” kerana menurutnya pantun yang saya utarakan telah membuktikan kepadanya bahawa zaman dahulu memang orang menggunakan pagar untuk melindungi padi daripada diragut oleh haiwan seperti ayam, tikus, kambing, lembu, babi dan seterusnya.

Menarik dari Web-web Lain

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*