Harimau Muda, Zulfahmi, dan Lee Chong Wei. Itulah antara pasukan mahupun individu yang mencipta kejayaan dan prestasi semalam (21 Okt 2012) dan awal pagi tadi (22 Okt 2012) yang amat membanggakan negara kita dalam 3 arena sukan berbeza di peringkat antarabangsa.
Keajaiban 1
Harimau Muda yang dipimpin oleh Ong Kim Swee telah berjaya meraih Kejohanan Bola Sepak Bawah 21 Tahun Antarabangsa Thanh Nien Piala Newspaper 2012 semalam dengan menang 1 – 0 ke atas Vietnam di Stadium Pleiku, Gia Lai, Vietnam.
Gol disumbang oleh Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-57. Ini merupakan kali pertama pasukan Harimau Muda bergelar juara dan mengalahkan Vietnam yang merupakan juara bertahan sejak Malaysia menyertai kejohanan tersebut pada tahun 2008 (dengan meraih tempat ke-4 pada 2 tahun lepas).
Kehilangan 5 pemain tak mematahkan semangat mereka untuk menjulang Piala Newspaper sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sejak perlawanan pertama dengan menewaskan semua saingan iaitu Laos, Sydney FC, Thailand dan Vietnam.
Keajaiban 2
Pelumba motor negara, Zulfahmi Khairuddin pula telah melakar sejarah baru permotoran negara di peringkat antarabangsa dengan menjadi pelumba Malaysia pertama dalam sejarah naik ke podium setelah menamatkan perlumbaan di tempat ke-2 dalam persaingan kelas Moto3 pada GP Malaysia 2012 di bawah pasukan Air Asia-SIC-Ajo semalam.
Tempat pertama pula diraih oleh Sandro Cortese dari pasukan Red Bull-KTM-Ajo manakala tempat ke-3 oleh Jonas Folger dari pasukan Mapfre Aspar Team.
Keajaiban 3
Awal pagi tadi (waktu Malaysia), Lee Chong Wei berjaya merampas kembali kejuaraan yang dimenanginya pada 2005 dan 2006 di Denmark dalam Terbuka Denmark 2012 Siri Super Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan kali ini menumpaskan lawannya, Du Pengyu (China) yang merupakan pilihan ke-7 kejohanan. Jadi, ini ialah kali ke-3 Chong Wei bergelar juara Badminton Perseorangan Lelaki di sana dengan skor 15-21, 21-12, 21-19 dalam tempoh 72 minit perlawanan akhir di Odense Sports Park, Odense, Denmark.
Rujukan:
Utusan Online
Gambar oleh HMetro
Leave a Reply