Melayu jadi bahasa kebangsaan di selatan Filipina?

Baru-baru ini, kerajaan Thailand melancarkan sebuah saluran televisyen tempatan berbahasa Melayu, bernama Malayu TV untuk komuniti penduduk asal selatan Thailand yang berbangsa Melayu. Berita itu semestinya satu rahmat kepada komuniti bekas kerajaan Langkasuka dan Patani itu.
Kini penduduk selatan Filipina pula dilaporkan akan memartabatkan semula bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam wilayah autonomi Bangsamoro itu, menurut laporan segmen antarabangsa Bulletin Utama TV3 pada 19 Januari 2013.

Hal ini sekali gus akan mengangkat semula martabat bahasa Melayu yang pernah digunakan di Filipina sebagai bahasa pemerintahan dan perantaraan, jauh sebelum penaklukan Sepanyol bermula dalam 1565 Masihi (M) hingga pudarnya penggunaan bahasa itu di Filipina khususnya di Mindanao kini.
Penemuan Inskripsi Plat Tembaga Laguna di Lumbang River, dekat Laguna de Bay bertarikh 822 Saka,  bersamaan 900 M, dipahat dalam bahasa Melayu Kuno menjadi bukti wujudnya bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan di Filipina, tidak terhad kepada selatan Filipina saja malah merangkum utara Filipina.
Inskripsi yang ditemui itu menyebut satu penganugerahan dokumen pembebasan hutang lengkap daripada Panglima Besar di Tundun (Tondo) terhadap Dayang Angkatan dan saudaranya bernama Bukah, anak Hwan Namwaran. Nama tempat Tundu dipercayai ialah Tondo di Manila yang berada di utara Filipina, malah plat tembaga itu telah ditemui di utara Filipina.
Kelangsungan bahasa ini terus dapat dilihat ketika Sepanyol pertama kali tiba di Filipina dalam abad ke-16 di mana mereka menyaksikan penggunaan bahasa Melayu Kuno dituturkan di kalangan bangsawan. Malah komunikasi pertama mereka dengan penduduk tempatan juga menggunakan kosa kata Melayu melalui jurubahasa yang bernama Enrique (Panglima Awang), seorang pembantu kanan Ferdinand Magellan.
Kini, bahasa Melayu dilihat telah suram di Mindanao selain di utara Filipina, namun ia masih dapat didengar di kawasan selatan Mindanao apabila ia masih dituturkan sebagai “lingua franca” atau bahasa penghubung dari Zamboanga hingga pulau Tawi-Tawi di kalangan suku minoriti Tausug, Bajau, dan Yakan.
Malah terdapat Melayu/Indonesia yang tinggal tetap dan menjalankan perniagaan di Filipina yang nampaknya masih mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa harian di Filipina. Bahkan di selatan pulau Palawan, bahasa Melayu turut digunakan oleh sebahagian besar penduduknya.
Jika anda gemar menonton drama-drama berbahasa Tagalog dari Filipina, sekali-sekala anda pasti terdengar istilah “ako” (aku), “ikaw” (kau/engkau), dan sebagainya yang berakar daripada bahasa Melayu. Ada kira-kira satu pertiga (1/3) kata yang digunakan di Filipina berasal daripada bahasa Melayu Kuno. Nama tempat seperti “Cotabato” di Mindanao (disebut “kota bato”) juga sama maksudnya dengan bahasa Melayu moden kita, cuma sebutannya “kota batu”.
Mungkin ada yang tak tahu bahawa penduduk asal Filipina yang membentuk majoriti ialah Rumpun Melayu atau juga disebut bangsa Austronesia/Malayo-Polinesia. Mereka terdiri daripada pelbagai suku (etnik) yang bertaburan di utara dan selatan Filipina malah terbahagi pula antara penganut Kristian (majoriti di utara) dan Islam (majoriti di selatan). Namun, perbezaan agama ini tak wajar memisahkan persaudaraan atau kerumpunan ini, ibarat air dicincang takkan putus.
Kini pemimpin Bangsamoro telah berhasrat mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di selatan Filipina (wilayah autonomi Bangsamoro). Hasrat ini pasti bertujuan menyatukan atau mengeratkan kembali persaudaraan suku-suku Rumpun Melayu yang pelbagai di selatan Filipina melalui bahasa yang pernah menjadi bahasa pemerintahan dan perantaraan di Filipina sekurang-kurangnya sejak 900 M.
Selain itu, hasrat ini juga pastinya bertujuan mengeratkan kerumpunan yang wujud antara selatan Filipina dengan negara-negara Rumpun Melayu lain seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, dan Timor Leste. Maka, hasrat ini wajarlah menjadikan kita semua bersatu dalam pelbagai lapangan tak kira dari negara mana kita wakili.
Hubungan akrab antara Malaysia dan selatan Filipina banyak persamaannya khususnya dari segi sejarah, bahasa, budaya, dan agama. Ikatan kukuh ini harus diteruskan sampai bila-bila bukan saja antara kerajaan Malaysia dan Bangsamoro bahkan harus diperkuat oleh rakyat Malaysia dan rakyat Bangsamoro, serta seluruh Filipina.
Pelbagai aktiviti bersama wajar dilakukan antara Malaysia dan Bangsamoro agar ikatan persaudaraan dan serumpun itu kekal kukuh selamanya. Antara aktiviti yang wajar dijalinkan bersama ialah pembangunan, pertanian, sukan, kebudayaan, pengembangan ilmu, seni (pertukaran muzik, drama, filem dll. dalam bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu) dan sebagainya.

Sang Setia ZB:  Akhir kata –  “Hidup PERPADUAN!”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*