Ia bermula dengan seorang lelaki sedang merakam pemandangan langit yang berlatar Helang Emas (Aquila chrysaetos) terbang menebar sayapnya di udara. Tiba-tiba helang itu berpusing dan mendarat di padang yang tak jauh dari pandangan perakam tersebut.
Helang itu lantas menyambar bayi yang sedang duduk di atas padang berumput itu dan terus mengangkat naik bayi itu dengan jelas hingga
akhirnya bayi itu terjatuh dari sambarannya beberapa kaki dari tempat bayi tersebut ‘diculik’ sang helang itu.
Ketika itu, bayi yang berbaju gelap dan berserkup merah itu ditemani seorang lelaki berpakaian belang tak jauh darinya. Lelaki itu seperti sedang mencari sesuatu di dalam sebuah beg.
Tanpa disedarinya yang sedang membelakangi bayi itu, tiba-tiba bayi di belakangnya disambar seekor helang. Namun dia tersedar dan terus mengejar sang helang yang sedang melarikan bayi berkenaan.
Sementara itu, lelaki yang merakam Helang Emas itu terkejut dan terus berlari ke arah bayi dan lelaki berbaju belang itu untuk membantu mendapatkan bayi itu. Bayi yang terjatuh dari sambaran helang tadi kedengaran menangis dan berjaya didapatkan oleh lelaki berbaju belang itu.
Situasi seorang bayi ‘diculik’ Helang Emas itu dimuat naik ke YouTube pada 18 Disember 2012. Setakat hari ini (lebih kurang 5 hari selepas tarikh muat naik), rakaman itu telah ditonton lebih 27.5 juta orang.
Bagaimanapun, pemuat naik video itu iaitu MrNuclearCat telah meletakkan kemas kini (update) dalam ‘About’ yang memberitahu bahawa video tersebut ialah ‘olokan’ daripada mereka yang menerbitkannya. Mereka terdiri daripada Antoine Seigle, Félix Marquis-Poulin, Loïc Mireault dan Normand Archambault, para pelajar di Centre NAD, Kanada.
Menurut satu pernyataan di Blogue.centrenad.com, mereka merupakan pelajar kelas bengkel simulasi penerbitan untuk ijazah Sarjana Muda dalam Animasi 3D dan Reka Bentuk Digital. Menurut pernyataan itu lagi, helang dan bayi itu telah disatukan kemudian dalam filem melalui animasi 3D.
Video tersebut dilapor telah menerima lebih daripada 1.2 juta tontonan di YouTube (setakat pernyataan itu diterbitkan pada 19 Disember 2012 di blog Centre NAD) dan telah disebut-sebut oleh berdozen-dozen media di Kanada dan luar negara. Untuk rekod, kelas berkenaan turut pernah menarik perhatian ramai dengan video olokan lain yang memaparkan seekor penguin lari dari zoo Montreal Biodome.
Berikut ialah video Bayi Disambar Helang Emas:
Golden Eagle Snatches Kid
Video berikut ialah hasil penerbitan terdahulu:
Leave a Reply